Sesekali wanita tergoda, gugurlah sekuntum wardah si syurga
5:06 PMSesekali wanita tergoda, gugurlah sekuntum wardah di syurga
Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta ahli keluarga baginda...
Rasulullah saw dan generasi itu telah tiada. Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Muhammad, kekasih ALLAH. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula daripada seorang diri , menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.
Ucapan baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulai mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari.
Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni. Apabila ada perdebatan, dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Apabila mendapat tekanan, rintangan serta siksaan berlaku dengan sabar dan melontarkan doa kasih nan sejati.
Seperti firman ALLAH dalam Surah An-Nahl: 125), " Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."
Dengan rahmat dan kurnia ALLAH, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu terbentuklah jemaah Islam pertama, iaitu jemaah Rasulullah dan pada sahabat baginda. jemaah batu ini masih sangat kecil dan merupakan ghuroba' (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran baginda sendiri.
Golongan ghuroba' inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik umat ini. mereka tidak punya apa-apa melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji ALLAH itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi. jalan dakwah inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dari akar umbi.
Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam kemana sahaja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan Al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari AL-Quran.Demikian sabda Rasulullah saw.. Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. kalau kita tidak memilih jalan menuju ALLAH, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri itulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblis yng terkutuk.
Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan Iblis laknatullah, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai iman. Masing-masing berusah dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya masing-masing menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana, ada perbezaan antara keduanya di alam abadi.
Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita, kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi. Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai persiapan yang serius untuk menghadapnya?
Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membela redha ALLAH? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu. Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba'. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar ikhlas kepadaNya.
Adalkh amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba' ini?
Mungkinkah kelalaian kita yang beterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? na'uzubillah... Ya ALLAH, bantulah kami untuk tetap layak berada di atas jalanMu. Jangan sesekali kau tapis kami dari jalanMu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri, amin...
Dipetik dari Tautan Hati, Fatimah Syarha
0 White pearl(s)